top of page

Cerita Rakyat Kaum Bidayuh

Updated: Jul 8, 2020

Bidang sastera memainkan peranan penting dalam pemeliharaan bahasa dan

budaya sesuatu kaum. William Bascom (seperti dipetik oleh Rosmani Omar, Md Sidin Ahmad Ishak & Siti Ezaila, 2019) mengatakan bahawa sastera rakyat merupakan projeksi masyarakat yang menggambarkan angan-angan dan harapan sesuatu masyarakat terhadap sesuatu perkara. Oleh sebab itu, cerita rakyat merupakan salah satu sumber terbaik dalam mempelajari budaya dan bahasa sesuatu etnik atau kaum dalam masyarakat. Dalam kalangan masyarakat Bidayuh terdapat beberapa cerita rakyat yang lazimnya disampaikan secara lisan secara turun temurun. Antara kisah yang diceritakan termasuklah Legenda Nkadis Niruk, Kisah Kaleng Buran, dan juga Legenda Pokok Madu.


 

LEGENDA NKADIS NIRUK


Gambar Hiasan: Nkadis Niruk, seekor belalang yang berwarna kebiru-biruan.


Sumber: Dicapai daripada BugGuide, oleh M. Brummermann, 2020, Dimuat turun daripada https://bugguide.net/node/view/465381/bgpage. Hak cipta 2010 oleh M. Brummermann.

 

Legenda Nkadis Niruk merupakan cerita dari masyarakat Bidayuh Serian, iaitu legenda di sebalik sejenis belalang kecil berwarna biru. Kisah ini menggambarkan sejarah budaya masyarakat Bidayuh Serian iaitu tradisi berkayau atau memenggal kepala musuh. Menurut kepercayaan masyarakat Bidayuh, sesiapa yang berjaya memenggal kepala musuh akan dijulang sebagai pahlawan lalu dinobatkan sebagai anak jantan terbilang. Namun begitu, ramai tidak tahu bahawa dalam masyarakat Bidayuh Serian ini terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi oleh mereka yang berhasrat keluar mengayau, bukannya memburu dan memenggal kepala secara semberono.


Kisah bermula dengan tujuh beradik dari sebuah keluarga yang menetap di sebuah perkampungan Bidayuh, Serian, Sarawak yang hendak keluar mengayau ke sebuah kampung yang jauh dari perkampungan mereka. Sebelum keluar mengayau, mereka telah meminta ibu mereka untuk menumbuk benih padi khusus untuk merayakan tamat musim menuai sebagai bekalan makanan mereka. Dalam kepercayaan masyarakat, benih padi tersebut tidak boleh ditumbuk sesuka hati – maka si ibu pun menjadi gusar dan menentang permintaan anak-anaknya itu kerana tidak mahu melanggar pantang larang. Apabila anak-anak berkeras meminta, si ibu pun beralah lalu menumbuk benih padi yang mereka minta atas dasar kasih sayang lalu dijadikan kuih kering (penganan) buat bekalan mereka keluar mengayau.


Tradisi mengayau lazimnya dilakukan secara berkumpulan besar atau kecil. Jika dilakukan secara berkumpulan kecil seperti tujuh beradik tersebut, adalah sebaiknya dilakukan secara serang hendap. Mereka mengembara selama hampir seminggu meredah hutan belantara mengikut denai-denai dan sungai-sungai kecil sebelum tiba di sebuah perkampungan. Mereka mendirikan khemah tidak jauh dari perkampungan tersebut untuk memantau aktiviti penduduk kampung. Keletihan mengembara dan menunggu hari yang sesuai menyebabkan mereka hilang kesabaran, lalu mereka bertindak menyerang perkampungan tersebut pada suatu petang. Meskipun berjaya memenggal kepala seorang remaja di ruai rumah panjang tersebut, perbuatan mereka dijejaki oleh penduduk rumah panjang yang terdengar jeritan para wanita rumah panjang.


Kemenangan berpihak kepada penduduk kampung apabila mereka berjaya menangkap tujuh beradik tersebut lalu memenggal kepala mereka sebagai hukuman. Walau bagaimanapun, ketujuh-tujuh anak Bidayuh yang dipenggal kepala tersebut dikatakan mempunyai ‘Kamang’, iaitu roh pelindung. Usai dipenggal kepala mereka, Kamang mereka kehilangan hala tuju atau tuan badan lalu mengamuk. Jeritan Kamang yang kedengaran siang dan malam menakutkan penduduk kampung, lalu mereka pun meminta tolong seorang dukun. Kamang akhirnya dijelmakan sebagai belalang biru yang turut mengeluarkan bunyi bising. Pun begitu, bunyi tersebut kurang mengganggu ketenteraman penduduk seperti sebelumnya. Belalang biru tersebut pun diberikan nama Nkadis Niruk (Haslina Bujang, 2017).

 

KISAH KALENG BURAN


Gambar Hiasan: Sapira dihukum dan ditukar menjadi burung pungguk.


Sumber: Dicapai daripada Ugly Hedgehog-Photography Forum, oleh Howie0704, 2017, Dimuat turun daripada https://www.uglyhedgehog.com/t-472546-1.html. Hak cipta 2017 oleh Howie0704.

 

Bulan mengambang seringkali menjadi topik cerita rakyat tanpa mengira bangsa dan agama di seluruh dunia. Dalam masyarakat Bidayuh, cerita Kaleng Buran turut menggunakan bulan mengambang sebagai ilham. Kaleng Buran merupakan seorang pemuda Bidayuh yang gagah dan tampan pada suatu zaman dahulu. Di antara gadis-gadis yang meminatinya, Kaleng Buran telah mengahwini seorang gadis bernama Sipira.


Kaleng Buran sering menghilang tatkala bulan tidak lagi mengambang, sehingga membuatkan Sipira tidak keruan dan hubungan mereka menjadi renggang. Sipira meragui kesetiaan suaminya yang merupakan seorang pemuda yang didambakan ramai gadis ketika itu. Sifat ingin tahu Sipira membuatkan dia bertindak mengekori Kaleng Buran secara diam-diam pada suatu malam. Sipira akhirnya mengetahui suaminya bermalam di pondok milik mereka di kawasan huma. Dikuasai oleh rasa ingin tahu, Sipira akhirnya bertindak mengintai si Kaleng Buran menerusi celah-celah dinding pondok.


Alangkah terkejutnya Sipira apabila terlihat akan Kaleng Buran yang bertukar menjadi seorang pemuda yang gagah dan tampan kepada seorang lelaki yang menjijikkan dan busuk. Badannya dipenuhi kudis, bahkan ada yang berulat. Sipira berasa jijik selepas menyaksikan perubahan itu, lalu dia pun terus pulang ke rumah dan mengunci pintu rumah dan enggan bertemu dengannya lagi. Beberapa hari kemudian, Kaleng Buran pulang ke rumah dan kecewa apabila Sipira enggan membuka pintu rumah. Kaleng Buran dihalau oleh isterinya sendiri lalu dihina kerana dianggap tidak jujur dan mempunyai ilmu hitam.


Kaleng Buran akhirnya sedar bahawa rahsia yang disimpan olehnya selama ini sudah terbongkar, namun dia berusaha memujuk Sipira. Kaleng Buran menjelaskan hal sebenar, bahawa dia mengidap suatu penyakit sejak kecil iaitu apabila bulan tidak bercahaya, wajah dan tubuhnya akan berkudis-kudis dan mengeluarkan ulat serta membusuk. Pun begitu, Sipira bertegas hendak berpisah dengan Kaleng Buran. Dia malah enggan menunjukkan mukanya untuk kali yang terakhir apabila dirayu oleh suaminya.


Menyedari kebencian isterinya tidak dapat diubah, Kaleng Buran berputus asa lalu memohon kepada sang dewa agar dia dibawa jauh dari manusia. Permohonan Kaleng didengar dan ditunaikan. Kaleng Buran diangkat tinggi-tinggi ke langit. Perkara ini disaksikan oleh isterinya sendiri dari jendela rumah. Sipira langsung menyesali perlakuannya terhadap suami yang dicintainya selama ini. Sipira merayu agar Kaleng pulang ke pangkuannya, tetapi hati Kaleng Buran sudah terlalu terluka dan tidak dapat dipujuk. Kaleng Buran kemudian digelar ‘Manusia Bulan’ oleh masyarakat kerana dikatakan tinggal di bulan dan susuk tubuhnya hanya akan menjelma di permukaan bulan mengambang.


Sipira yang tinggal di bumi terpaksa menanggung rindu yang berpanjangan terhadap suaminya dan menangis saban hari. Perbuatan kejamnya terhadap suaminya menyebabkan Sipira dihukum oleh sang dewa dan dia bertukar menjadi seekor burung pungguk. Menurut kepercayaan Bidayuh, kerana itulah ada pepatah lama yang berbunyi ‘bagai si pungguk rindukan si rembulan’ yang membawa maksud suatu rindu yang tidak kesampaian seperti rindu Sipira kepada suaminya (Haslina Bujang, 2018).


 

LEGENDA POKOK MADU


Gambar Hiasan: Nenek Si Jurai menjadi Pokok Madu


Sumber: Dicapai daripada Sukasuka.tv, oleh Ahmad Zharfan, 2020, Dimuat turun daripada https://sukasuka.tv/index.php/2020/06/17/hikayat-legenda-sarawak-kisah-kenapa-nenek-si-jurai-jadi-pokok-madu/. Hak cipta 2008 oleh Sarawak Folktales.

 

Legenda ini mengisahkan tentang seorang nenek yang telah bertukar menjadi sebatang pokok madu dan menghasilkan madu cuma untuk keturunannya sendiri, iaitu keturunan cucunya Si Jurai. Kisah bermula di sebuah perkampungan Bidayuh iaitu rumah panjang Tabug. Seorang nenek tinggal bersama cucunya yang merupakan seorang anak yatim piatu. Mereka hidup miskin papa, dan penduduk rumah panjang Tabug memandang rendah serta membenci mereka. Oleh sebab zaman dahulu tiada gula, masyarakat akan mengumpul madu lebah dari sarangnya. Sesiapa yang berjaya membawa madu pulang ke rumah panjang pasti akan bercerita kepada semua orang dengan bangganya.


Pada suatu hari, seorang anak muda telah berhasil membawa madu pulang ke rumah lalu bermegah-megah perihal dia mendapatkan madu tersebut sebelum mengajak rakan-rakannya makan bersama. Kanak-kanak rumah panjang pun berkumpul menunggu giliran untuk diagihkan madu yang diisi ke dalam kelongsong pisang. Ketika itu, Si Jurai telah dipinggirkan dan tidak diberi madu selain dihina kerana miskin dan yatim piatu meskipun Si Jurai tidak meminta-minta madu daripada mereka. Usai semua anak-anak rumah panjang menikmati madu yang diagihkan, Si Jurai pun mengumpul daun-daun pisang yang tertinggal untuk merasa sedikit sisa titisan madu pada daun tersebut.


Ketika mengumpul sisa tersebut, dia terkenang akan neneknya. Si Jurai tidak pernah merasa sesuatu yang seenak madu itu, dan dia merasa bersalah kerana menikmatinya sedangkan neneknya setiap hari hanya makan nasi berlaukkan garam. Si Jurai pun pulang bersama madu di hujung jarinya yang dicalit daripada daun pisang tadi. Nenek Si Jurai kecewa melihat cucunya pulang bersama madu di hujung jari dan bukannya daun pisang seperti anak-anak lain. Dia kasihan melihat cucunya diperlakukan sebegitu, sedangkan setiap kali Si Jurai berhasil menangkap ikan, Si Jurai akan berkongsi dengan orang lain.


Nenek pun menyuruh Si Jurai pulang ke rumah mendiang ibunya kerana di sana ada ibu saudara dan para sepupunya yang boleh menjaganya. Nenek juga berpesan supaya Si Jurai mencarinya ke selekoh kedua batang sungai seandainya Si Jurai tidak menjumpai neneknya di rumah. Ketika itu Si Jurai tidak memahami pesan neneknya. Dia cuma tahu bahawa sungai di selekoh kedua itu merupakan tempat penduduk mandi dan mencuci baju.


Keesokan harinya, Si Jurai pulang dari huma lalu mendapati neneknya tiada di bilik sedangkan orang tua itu mendahuluinya pulang dari huma. Sangkaannya, neneknya keluar mengambil air ke sungai. Apabila hari mulai lewat dan neneknya masih belum kelihatan, Si Jurai meminta tolong orang rumah panjang termasuklah Ketua Rumah Tabug namun tiada seorang pun peduli akan kehilangan nenek Si Jurai. Si Jurai putus asa lalu pulang ke rumah. Dia terpaksa menunggu hari siang untuk mencari neneknya memandangkan hari sudah gelap. Pagi itu Si Jurai teringat akan pesan neneknya tentang selekoh kedua sungai, lalu dia pun berlari sepanjang denai sehingga ke selekoh kedua sungai tersebut. Setibanya di sana, Si Jurai melihat beberapa orang wanita sedang mencuci pakaian berdekatan batu-batu besar namun kelibat neneknya tidak kelihatan.


Sedang dia mencari, dia terdengar suara memanggil namanya. Suara itu suara neneknya, namun batang hidung orang tua itu tidak kelihatan sama sekali. Kali kedua namanya dipanggil penuh kasih sayang, dia pun memandang ke arah sebatang pokok besar di tepi sungai itu. Selama ini dia tidak pernah melihat pokok sebesar itu di kawasan tersebut. Dahannya bergerak-gerak seakan-akan itulah tangannya, dan daunnya berkersik seakan-akan bunyi suara. Ya, itulah suara neneknya. Neneknya memanggil Si Jurai lagi dan meminta Si Jurai mendongak ke atas.


Alangkah gembiranya Si Jurai apabila melihat terdapat sarang lebah di atas pokok itu. Dia teruja hendak membawa madu tersebut pulang ke rumah untuk dikongsikan dengan neneknya. Kegembiraannya hanya sementara apabila dia menyedari pokok madu itulah neneknya. Si Jurai berlari lalu memeluk pokok itu seraya merayu supaya neneknya pulang. Nenek Si Jurai menidakkan permintaan cucunya. Dia memberitahu Si Jurai bahawa dia ditukar menjadi pokok oleh roh baik. Neneknya berkata bahawa dia mahu tinggal bersendirian sebagai pokok yang tinggi demi memberi madu kepada Si Jurai dan seluruh keturunannya dengan syarat ia mesti dijaga dengan baik. Nenek berasa sedih terpaksa meninggalkan cucunya bersendirian.


Dia berpesan supaya setiap kali Si Jurai datang mengambil madu, hendaklah dia menyanyikan suatu lagu untuk menemani neneknya yang kesunyian. Dia juga menasihati Si Jurai supaya mengajar anak-anaknya menjadi baik, menghormati orang tua, dan tidak memandang hina mereka yang miskin. Nenek turut berpesan supaya Si Jurai mengajar anak-anaknya untuk tidak memanggil mentua mereka dengan nama sahaja. Jika tidak dituruti syarat-syarat tersebut, mereka akan jatuh dari pokok yang cuba dipanjat.


Nenek kemudian meminta Si Jurai menyanyikan lagu ketika membuat tangga buluh yang akan digunakan untuk memanjat pokok madu, iaitu tubuh neneknya itu. Buluh yang digunakan hendaklah dari buluh yang bagus dan tidak merosakkan kulit pokok madu. Si Jurai juga diminta bernyanyi supaya angin membantunya, dan supaya asap menghalau lebah di sarang. Akhirnya, si nenek berkata bahawa ketika Si Jurai memanjatnya, dia mahu jiwa Si Jurai ada bersamanya kerana dia tahu cucunya amat sayang akan dirinya. Namun begitu, diam ahu Si Jurai pulang dengan selamat kepada keluarganya. Oleh itu dia meminta Si Jurai bernyanyi lagi ketika hendak turun dari pohon supaya jiwanya kembali ke tubuhnya semula.


Pesanan terakhir neneknya sebelum dedaun berhenti berkerisik ialah supaya Si Jurai tidak melanggar semua pesannya. Jika ada keturunannya melanggar pesan tersebut, maka mereka akan jatuh ketika memanjat pokok madu itu.


Si Jurai terus mengerjakan permintaan neneknya. Ketika itu orang ramai turun ke sungai untuk mandi dan membasuh baju. Mereka terlihat pokok madu itu dan cuba memanjatnya. Si Jurai memberitahu mereka bahawa mereka perlu bernyanyi untuk memanjatnya, namun amarannya tidak dihiraukan. Dia ditertawakan pula oleh orang-orang kampung, sehinggalah seorang daripada mereka terjatuh lalu patah kaki ketika cuba memanjat pokok itu (Ahmad Zharfan, 2020).


Si Jurai kemudian memanjat pokok sambil bernyanyi seperti yang dipesan oleh neneknya. Usai mendapatkan madu, dia turun sambil bernyanyi lagi kepada neneknya. Mereka menjadi keliru mendengar Si Jurai memanggil pokok itu sebagai neneknya kerana pada hari tersebut mereka sepatutnya keluar mencari si nenek tua yang dikhabarkan hilang oleh Si Jurai sendiri, namun dikejutkan oleh kewujudan pokok baru itu. Si Jurai walau bagaimanapun tidak mengangkat kepala, jauh sekali bertegur dengan jirannya. Dia mengorak langkah pulang ke rumah panjang bersama madu yang diperolehinya.


Ketika itu barulah ramai orang rumah panjang itu bertandang ke rumahnya tanpa segan silu. Mereka tiba-tiba mengakui Si Jurai kawan baik mereka dan mengatakan bahawa mereka amat menghormati dia. Mereka berjanji akan mencari nenek Si Jurai. Mereka kemudian dengan tidak malunya meminta supaya madu yang diperolehi Si Jurai dikongsikan kepada semua, sambil mengakui mereka selalu berkongsi makanan di rumah panjang itu. Mendengar kata-kata mereka, Si Jurai menjadi marah. Dia menempelak orang-orang kampung yang selalu menghina dia dan neneknya dan tidak pernah berkongsi apa pun dengan mereka. Dia marah kerana keangkuhan orang rumah panjang itu menyebabkan dia kehilangan satu-satunya orang yang dia sayangi. Si Jurai memberitahu bahawa neneknya sudah menjadi pokok demi memberikan madu kepada dia dan anak-anaknya. Mendengarkan kata-kata itu, tuai rumah panjang pun terus berlaung dari luar, mengatakan bahawa dia membenarkan Si Jurai mengahwini salah seorang anak-anaknya apabila dia sudah dewasa.


Barangkali kecewa dengan keangkuhan orang rumah panjang yang kelihatan seperti tidak akan berubah selamanya, Si Jurai tidak menjawab. Dia terus mengemas barang-barangnya lalu memberitahu mereka bahawa dia akan pulang ke rumah panjang mendiang ibunya dan menetap di sana. Dia turut memberitahu bahawa dia akan mengahwini wanita dari rumah panjang mendiang ibunya apabila sudah dewasa sambil bersumpah tidak akan kembali ke kampung Tabug itu lagi.


Demikianlah cerita Si Jurai yang akhirnya menetap di kampung mendiang ibunya yang terletak sejauh tiga hari perjalanan sepanjang denai-denai dari kampung Tabug. Dia menceritakan tentang semua yang telah terjadi lalu tinggal bersama makciknya sehinggalah dia meningkat dewasa. Dia kemudian mendirikan rumah tangga di sana dan menceritakan tentang pokok madu. Dia mengajar anak-anaknya supaya menghormati orang tua dan mentua mereka. Si Jurai turut mengajar anak-anaknya menyanyi lagu pokok madu. Keturunan Si Jurai masih menikmati madu daripada pokok tersebut sehingga hari ini (Heidi Munan, 2008).

 

KESIMPULAN


Selain mengandungi pelbagai teladan dan nilai-nilai murni, kisah-kisah rakyat yang diceritakan dari mulut ke mulut setiap generasi banyak menerapkan sejarah di sebalik budaya masyarakat Bidayuh. Contohnya seperti di dalam kisah Nkadis Niruk telah diceritakan serba sedikit tentang pantang larang dalam tradisi mengayau selain daripada pantang larang menumbuk padi yang sepatutnya digunakan ketika meraikan tamatnya musim menuai padi. Selain itu terdapat pendedahan kepada wujudnya kepercayaan kuno terhadap roh pelindung iaitu Kamang ketika zaman itu yang mungkin tidak diketahui oleh generasi moden yang mengamalkan agama Kristian dan sebagainya.


Sementara terdapat kepercayaan-kepercayaan kuno yang ditinggalkan, terdapat adat yang masih dijaga dan diamalkan oleh keturunan Bidayuh. Adat tersebut ialah adat seperti yang diajarkan oleh nenek Si Jurai, iaitu untuk menghormati orang tua dan tidak memanggil mentua dengan nama sahaja. Cerita Kaleng Buran pula merupakan cerita yang mendidik anak-anak muda terutamanya, tentang keikhlasan dalam berkasih sayang, kepentingan bersikap jujur serta kepentingan menggunakan akal sebelum bertindak atau membuat keputusan. Cerita ini juga memudahkan anak-anak memahami makna di sebalik mutiara kata seperti pepatah ‘seperti pungguk rindukan bulan’ melalui cerita sebegini.


Menurut Nur Afiradina (seperti dipetik oleh Rosmani Omar, Md Sidin Ahmad Ishak & Siti Ezaila, 2019), cerita rakyat yang berasaskan budaya tempatan dan sepatutnya diterapkan dalam kehidupan kanak-kanak demi permbinaan jati diri kini semakin jauh daripada generasi muda. Justeru itu, amatlah penting untuk semua lapisan masyarakat menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memelihara cerita rakyat Bidayuh ini agar Bahasa dan budaya mereka tidak hilang ditelan zaman.

 

SOAL SELIDIK

Sekian sudah berkongsi ilmu di dada. Kini tiba masanya kami meminta pandangan anda mengenai cerita rakyat kaum bidayuh. Sudilah tuan/puan menjawab soal selidik kami melalui pautan berikut:



Kerjasama tuan/puan amatlah kami alu-alukan. Terima kasih.

 

RUJUKAN


Haslina Bujang. (2017). Legenda Nikadis Nyiruk dalam masyarakat Bidayuh Serian. Dimuat turun daripada https://www.thepatriots.asia/legenda-nikadis-nyiruk-dalam-masyarakat-bidayuh-serian/


Haslina Bujang. (2018). Cerita Kaleng Buran “Manusia Bulan” di kalangan kaum Bidayuh Sarawak. Dimuat turun daripada https://www.thepatriots.asia/cerita-kaleng-buran-manusia-bulan-di-kalangan-kaum-bidayuh-sarawak/



Ahmad Zharfan. (2020). Hikayat Legenda Sarawak: Kisah kenapa Nenek Si Jurai jadi pokok madu. Dimuat turun daripada https://sukasuka.tv/index.php/2020/06/17/hikayat-legenda-sarawak-kisah-kenapa-nenek-si-jurai-jadi-pokok-madu/


Rosmani Omar, Md Sidin Ahmad Ishak & Siti Ezaila. (2019). Daripada cetak kepada digital: Rekonstruksi cerita rakyat di Malaysia. Dimuat turun daripada http://jurnalmelayu.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2019/07/7-Digital.pdf


M. Brummermann. (2010). BugGuide. Dimuat turun daripada https://bugguide.net/node/view/465381/bgpage


Howie0704. (2017). Ugly Hedgehog-Photography Forum. Dimuat turun daripada https://www.uglyhedgehog.com/t-472546-1.html


Comments


bottom of page