Masyarakat Bidayuh yang dikenali Dayak Darat atau Land Dayaks merupakan salah satu etnik bumiputera ketiga terbesar di Sarawak yang juga kaya dengan adat, bahasa dan budaya yang tersendiri (Buk baang piminyuu, n.d.). Pantun Bidayuh memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Bidayuh terutamanya bagi pengekalan budaya masyarakat tersebut. Ini bertujuan bagi menggambarkan budaya masyarakat tersebut dapat dikekalkan secara turun-menurun. Kajian yang telah dipilih untuk dikaji adalah pantun masyatakat Bidayuh Jagoi yang mendiami di daerah Bau. Bahasa Bidayuh Jagoi merupakan salah satu daripada variasi bahasa Bidayuh yang menjadi bahasa ibunda bagi masyarakat Bau-Jagoi dan sekitarnya. Dalam meniliti arus kemodenan, pendokumentasian pantun ini amat penting bagi memelihara budaya masyarakat Bidayuh yang boleh menjadi tatapan generasi dan warisan satu generasi ke generasi seterusnya.
Pengenalan:
Menurut Mary Fatimah Subet, Shanthi Nadarajan, Wan Robiah Meor Osman, dan Salbia Hassan (2015), pantun atau dalam bahasa Bidayuh Jagoi disebut sebagai “patun”. Pantun merupakan puisi tradisional yang digunakan secara meluas sejak zaman dahulu kala sehingga zaman kini. Pantun merupakan warisan kaum Bidayuh Jagoi yang sangat tinggi nilainya yang menjadi warisan generasi ke generasi seterusnya. Bukan sahaja sebagai puisi berirama indah terdapat unsur kepercayaan, pengalaman, nilai, emosi dan fungsi anggota Bidayuh (Mary Fatimah Subet et al., 2015).
Kekayaan bahasa dan lisan dalam masyarakat Bidayuh dapat dilihat melalui puisi/pantun. Terdapat banyak unsur-unsur nasihat dipaparkan dalam pantun-pantun masyarakat Bidayuh. Selain itu, pantun juga digunakan bagi memberi kata-kata semangat, dan untuk menceriakan suasana dalam suatu majlis (Jihen, 2020).
Kegunaan Pantun:
Menurut Jihen (2020), pantun Bidayuh digunakan dalam majlis kesyukuran, majlis adat dan tradisi, majlis pertunangan dan juga majlis perkahwinan. Pantun bukan sahaja digunakan semasa aktiviti majlis tertentu, tetapi pantun juga digunakan sebagai medium untuk menyampaikan pesanan yang berbentuk nasihat dan juga sebagai pemberi kata semangat. Tambahan pula, perkataan yang mempunyai penggunaan unsur-unsur dalam pantun antaranya menggunakan unsur alam semula jadi seperti haiwan, tumbuhan dan kehidupan alam semesta (Mary Fatimah Subet et al., 2015).
Bentuk luaran Pantun Bidayuh Jagoi
Keindahan bahasa Bidayuh dalam warisan pantun tradisional yang diwarisi sejak zaman dahulu dijelmakan dalam susunan gaya dan persembahan sastera yang indah dan hebat kepada generasi muda. Walaupun pantun dari bentuk luaran nampak sederhana, namun kaitan antara struktur, makna, budi dan gaya bahasa padat dengan nilai keindahannya.
Pantun yang diucapkan kaum Bidayuh ini tidak jauh berbeza dengan pantun masyarakat Melayu dari segi bentuk luaran dan dalaman pantun. Dalam pantun Melayu terdapat masyarakat tersebut tidak mengabaikan aspek keagamaan kerana masyarakat Melayu yang beragama Islam turut memaparkan panduan beragama dalam pantun. Hal ini turut juga dalam pantun Bidayuh, iaitu aspek keagamaan turut diselitkan dalam pantun-pantun mereka (Mary Fatimah Subet et al., 2015).
Kesopanan berbahasa dalam masyarakat Bidayuh turut dilihat walaupun cuma sekadar ucapan pantun secara spontan sahaja. Namun apa yang pasti, pantun masyarakat Bidayuh wujud amalan percakapan yang berbentuk kiasan atau ibarat bagi menjelaskan sesuatu secara belapik dan tidak berterus terang. Terpulang kepada si pendengar untuk memahami mesej tersirat itu. Pantun Bidayuh sering menyampaikan nasihat kepada generasi muda khususnya sebagai peringatan pedoman untuk sentiasa melakukan kebaikan walau di mana sahaja berada.
Ciri Pantun Bidayuh Jagoi:
Bentuk luaran pantun Bidayuh Jagoi tidak jauh berbeza daripada ciri pantun Melayu. Seperti struktur binaan pantun Melayu yang tidak sewenang-wenangnya tetapi memerlukan perhatian dan kepekaan setiap aspek termasuklah sukatan patah perkataan, jumlah barisan yang terhad serta rima setiap rangkap pantun. Pantun bukan sahaja memiliki makna yang mendalam tetapi juga mempersembahkan dengan menarik melalui patah perkataan dalam baris yang terhad, diksi yang terpilih, rima yang tersusun termasuklah sususan perkataan dan frasanya.
Menurut Mary Fatimah Subet et al. (2015) ciri rima dalam pantun empat dan dua kerat Bidayuh Jagoi pada baris pertama berima dengan rima terakhir baris ketiga. Manakala baris rima baris kedua berima dengan baris terakhir dimana pantun tersebut membentuk corak rima a-b-a-b. Dalam pantun Bidayuh Jagoi, terdapat ciri dua kerat, empat kerat, enam kerat dan juga lapan kerat. Namun, kebanyakannya empat kerat sering digunakan dalam penulisan. Tambahan pula, bagi mendapatkan pantun yang berirama dengan baik dan teratur, bilangan patah perkataan dalam setiap baris pantun juga diteliti. Biasanya, bilangan patah perkataan terdiri daripada empat hingga enam patah perkataan sebaris.
Kepentingan Patun Jagoi:
Membantu mendekatkan masyarakat bandar Bidayuh untuk mengenali budaya dalam kehidupan mereka.
Sebagai sumber penting dalam pengekalan warisan untuk tatapan generasi muda.
Contoh Pantun Bidayuh Jagoi:
Pantun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pendengar mengenai kelebihannya. Pemantun berusaha untuk menyampaikan nasihat kepada masyarakat agar menerima pantun dengan terbuka dan tidak terasa hati. Hal ini kerana, pemantun hendak menunjuk kepada para penutur untuk berjaga dalam pertuturan dan tidak memperlekehkan orang lain melalui ejekan atau kiasan. Pantun ini cuba untuk tidak melukai hati seseorang secara terus terang, oleh itu cara penyampaian pantun ini digunakan dengan cara tersirat. Justeru itu, pantun ini jenis hiburan disamping untuk meningkatka kesedaran tentang masyarakat untuk bertoleransi sesama sendiri bukannya menyakiti atau menjatuhkan orang lain (Mary Fatimah Subet, Dayang Sariah Meor Osman, & Shanthi Nadarajan, 2013).
Kesimpulan:
Pantun Bidayuh mengandungi satu susunan bahasa yang menarik, indah serta berlapik yang memberikan nilai kebijaksanaan terhadap pencipta pantun. Pemikiran masyarakat Bidayuh terpapar dalam ungkapan bahasa yang indah dalam pantun dan bersumberkan unsur alam semula jadi seperti haiwan, tumbuhan dan kehidupan alam semesta. Hal ini kerana pantun yang berteraskan nasihat, pengajaran, teladan, nilai murni dan adat dapat mendidik generasi anak muda agar dapat menbentuk manusia yang berguna. Selain itu, pantun Bidayuh Jagoi juga mengetengahkan bentuk pantun sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Ia nyata dapat memberikan gambaran persepsi moral dan budaya dalam kehidupan masyarakat.
Oleh itu, pantun hendaklah dipelihara dan dimanfaatkan secara berterusan agar warisan bangsa Bidayuh tidak ternilai harganya ini akan berkekalan dan seterusnya menjadi amalan hidup generasi akan datang.
Maklum Balas Pelanggan (Pantun Bidayuh Jagoi)
Sebelum itu, kami menjalankan tinjauan dan ingin mengetahui pendapat anda tentang pantun masyarakat Bidayuh Jagoi. Kami berharap tuan/puan yang berbangsa Bidayuh dapat membantu kami dengan memberi maklum balas di borang Google Form yang telah kami sediakan. Kerjasama tuan/puan amatlah dihargai. Sekian, terima kasih.
https://forms.gle/o8LyQixD3rmFuxYQ8
Comments