top of page

Kraftangan Tradisional Masyarakat Bidayuh

Updated: Jul 9, 2020


Selamat Datang!


Di halaman ini, kami ingin memperkenalkan beberapa kraftangan masyarakat Bidayuh yang unik dan menarik di Sarawak.


PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Kraf adalah satu perusahaan (hiasan atau peralatan barangan) yang memerlukan kemahiran terutamanya kemahiran menggunakan tangan. Dalam kata lain kraf tangan didefinisikan sebagai satu daya tarikan kebudayaan dan tradisional yang terhasil daripada sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebagainya kepada kemahiran tangan dan termasuklah keluaran batik dan sebagainya. Pertukangan kraftangan kebiasaanya dihasilkan secara perseorangan atau kecil-kecilan sahaja. Hasil kraftangan juga membawa kepentingan terhadap budaya atau agama sesuatu masyarakat.


Negeri Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan hasil hutan dan sumber semulajadi. Oleh itu, hasil kraftangan yang dilakukan dalam ahli masyarakat di Sarawak khususnya bukan sahaja untuk kegunaan harian mereka, bahkan menjamin pulangan yang lumayan jika dipasarkan secara meluas. Pada tahun 2019, negeri Sarawak telah mencatatkan nilai jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM30.5 juta dalam sektor produk Kraftangan (Berita Harian, 2019).

 

JENIS KRAFTANGAN

Berikut merupakan beberapa contoh kraftangan yang terdapat dalam masyarakat Bidayuh:


1- TAMBOK merupakan sejenis bakul berbentuk silinder dan disokong dengan empat batang kayu. Bakul jenis ini diperbuat daripada hasil-hasil hutan seperti buluh, rotan dan daun nipah. Masyarakat Bidayuh menganyam bakul ini menggunakan rotan secara menegak dan melintang. Cara penggunaannya adalah dengan menggalasnya di bahu seperti beg atau menggunakan tali lebar dan disangkutkan ke dahi. Tambok berfungsi untuk mengangkut hasil cucuk tanam di hutan, menuai dan menyimpan padi serta juga sebagai tempat penyimpanan barangan peribadi. (Bidayuh Jagoi)

Gambar 1 : Tambok (sumber google)


2- TERENDAK merupakan sejenis topi yang bersaiz agak besar dan berbentuk kon. Topi jenis ini diperbuat daripada daun nipah yang dihiasi dengan buluh serta nipah. Ianya mempunyai fungsi yang berbeza-beza mengikut kegunaan. Ada yang digunakan sebagai pelindung kepala (topi) daripada hujan dan panas.

Gambar 2 : Terendak (sumber google)


3- TIKAR KELASAH (KASAH) merupakan sejenis tikar yang berfungsi untuk menjemur padi dan lada hitam (pada zaman dahulu). Tikar jenis ini menggunakan kulit kayu dan rotan sebagai material utama. Kulit kayu diambil daripada pokok bayuh dan rotan pula adalah dari jenis rotan saga putih dan saga emas. Material ini diperoleh daripada penduduk kawasan di sekitar Stass, Serasot, Sebobog dan Bogar. Tikar ini dihampar di beranda rumah ketika kaum Bidayuh menyambut perayaan atau majlis keramaian. (Bidayuh Jagoi, Biatah, Bau)


Gambar 3 : Tikar Kelasah (sumber google)


4- PANGIAH ialah perhiasan leher manik bagi wanita suku kaum Bidayuh. Kalung ini merupakan sebahagian daripada pakaian tradisional dan dipakai oleh wanita Bidayuh sebagai aksesori. Dalam penghasilan pangiah, penghasil selalunya akan melukis dan merancang sebelum membuat pemilihan motif, warna dan jenis manik yang hendak digunakan. Motif yang serupa tidak dihasilkan dengan banyak walaupun mendapat sambutan. Hal ini kerana orang ramai tidak menempah dalam kuantiti yang banyak, sekadar satu atau dua pasang untuk kegunaan sendiri. Tempoh yang diambil untuk menyiapkan sesuatu aksesori bergantung kepada motif yang ingin dihasilkan. Selain itu, pangiah biasanya diperbuat daripada manik jenis kaca berkualiti tinggi dan sesetengah penghasil menggunakan manik yang diimport khas dari luar negara.


Gambar 4 : Pangiah (sumber google)


5- BERINCHOYO merupakan sejenis alat seruling yang diperbuat daripada buluh. Alat ini boleh dimainkan oleh wanita mahupun lelaki. Bahagian atas seruling dihiasi dengan "bible" dawe "tiko" (motif pucuk pakis yang boleh dimakan).


Gambar 5 : Berinchoyo (sumber google)

CARA UNTUK MENDAPATKAN

Setelah melihat gambar-gambar di atas, mungkin ada yang tertanya-tanya, "Saya berminat untuk mendapatkan kraftangan kaum Bidayuh, tetapi di mana saya boleh mencarinya?"


Antara tempat untuk mendapatkan barangan kraftangan tradisional Bidayuh yang asli di Sarawak adalah di Bau Handicraft House. Sebagai sebuah pusat kraftangan di Bau, Bau Handicraft House mempamerkan serta menjual buatan kraftangan yang dihasikan sendiri oleh artis-artis Bidayuh.


Selain itu, anda juga mendapatkannya di Sarawak Craft Council (Sarawak Handicraft Centre), pasar-pasar seperti Pasar Serikin serta di kedai-kedai kraftangan tradisional sekitar Kuching.

 

KESIMPULAN

Kraftangan bukan sekadar barangan. Terdapat sejarah yang memperlihatkan budaya dan tradisi sesuatu masyarakat di sebaliknya. Dalam hal kraftangan tradisional kaum Bidayuh, bentuk, motif dan warna yang dihasilkan berbeza mengikut tempat menjadi lambang kepelbagaian dan kekayaan budaya suku-suku dalam masyarakat Bidayuh. Oleh itu, usaha untuk mengekalkan kraftangan tradisional adalah penting sekali.


Komuniti tempatan haruslah melibatkan diri dalam industri kraftangan mereka sendiri dengan cara mengadakan atau menubuhkan kelas serta kelab yang melibatkan industri kraftangan di Malaysia. Masyarakat luar juga boleh menyokong usaha itu dengan membeli barangan kraftangan buatan komuniti tersebut. Pengusaha kraftangan juga perlulah memvariasikan corak setiap kraftangan yang dihasilkan kerana, masyarakat zaman sekarang lebih melihat variasi, kelebihan dan keistimewaan. Mereka juga perlu mencari peluang dan platform dalam usaha mempromosikan produk mereka di peringkat global.


Komitmen dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat diperlukan dalam usaha memartabatkan lagi industri kraftangan tradisional kaum Bidayuh di negara kita. Jika perkara yang dinyatakan ini berlaku, maka tidak hairanlah satu hari nanti produk kraftangan negara mampu duduk sebaris dengan produk kraftangan antarabangsa, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

 

USAHA PENGEKALAN KRAFTANGAN MASYARAKAT BIDAYUH:


Sebelum anda pergi,


Kami sedang melakukan suatu tinjauan dan ingin mengetahui pendapat anda tentang kraftangan tradisional masyarakat Bidayuh. Sekiranya anda berketurunan Bidayuh, kami berharap anda dapat meluangkan sedikit masa untuk menjawab borang di bawah.




Di bawah merupakan contoh pandangan tentang cara mengekalkan kraftangan masyarakat Bidayuh yang telah diberikan oleh golongan muda Bidayuh melalui tinjauan yang dilakukan.


Terima kasih atas kerjasama dan perhatian anda!


 

Rujukan


Cats City Hornbill Land (2012, Mei 6). The Bidayuh.....who so enchanted the first White Rajah with their gentleness [Blog]. Dicapai dari http://catscityhornbillland.blogspot.com/2012/05/sarawak-colourful-ethnics.html



Kamus, D. Edisi ke-4. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Sarawak Kita (2020, Jan 19). "Pangiah" atau kalung manik adalah salah satu identiti wanita Bidayuh [Blog]. Dicapai dari

Comentarios


bottom of page