top of page

Pakaian Tradisional Kaum Bidayuh

Updated: Jul 10, 2020

1. Pengenalan

Pakaian mempunyai makna yang begitu luas takrifannya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan 'pakaian' dimaksudkan dengan sesuatu yang dipakai iaitu baju, seluar dan sebagainya. Pakaian dari aspek tersiratnya mencerminkan adab dan perilaku masyarakat yang tersendiri. Aspek budaya pula, pakaian dikaitkan dengan upacara dan adat istiadat. Setiap masyarakat mempunyai pakaian tradisionalnya yang tersendiri dan mempunyai keunikan pada rekaannya dengan rona warna yang begitu menarik perhatian. Keunikan dan kecantikkan pada pakaian kaum Bidayuh terserlah dengan ragam hias yang menunjukkan kehebatan pada pembuat yang menghasilkan pakaian tradisional mereka. Bagi masyarakat Bidayuh, warna hitam merupakan warna utama dalam pakaian tradisional mereka.


Pakaian yang dipakai oleh lelaki Bidayuh ialah baju dan seluar yang dihias dengan pita merah dan putih. Lelaki Bidayuh juga memakai 'tawuo' atau 'tahup'. sekeping kain panjang yang dibalut sekeliling badan dan kedua-dua hujung kain menutupi bahagian depan dan belakang badan. Pada bahagian luar memakai jipo Boyuh dari kulit kayu dan kalung gigi beruang.


Bagi pemakaian untuk wanita Bidayuh pula, mereka memakai baju jipo pendek dan skirt bidang fabrik satin rona hitam dengan berhiaskan selempang merah. Mereka juga menggunakan perhiasan daripada syiling perak. Perhiasan kepalanya ialah sipiah dari tiga warna iaitu merah, hitam dan putih berhiaskan labuci dan syiling perak. Berikut merupakan cara pemakaian baju tradisional kaum bidayuh bagi wanita:


2. Nama-nama alat perhiasan pada pakaian tradisional kaum Bidayuh


Lelaki

· Tawoup/tahup- Kain pinggang panjang yang melilit badan dengan satu hujungnya tergantung di depan dan yang lain di belakang

· Burang Sumba- Penutup kepala (headgear)

· Kima- Gelang tangan

· Rompi-Vest


Perempuan

· Jomuh- Skirt

· Selapai- Aksesori

· Pangiah-Kalung manik

· Porik- Tali pinggang tembaga atau logam

· Sipiah- Penutup kepala (headgear)


3. Ciri dan fungsi pakaian kaum Bidayuh


i. Lambang identiti

Pemakaian yang lengkap bagi kaum lelaki Bidayuh dengan memakai tawoup atau tahup diserta dengan burang sumba dan juga kima. Seterusnya, pada bahagian badan pula, pemakaian rompi tanpa lengan yang menutupi bahagian atas badan. Pakaian lelaki kaum Bidayuh ini melambangkan identiti Bidayuh dan mesti ada pada pakaian lelaki Bidayuh. Manakala bagi pakaian wanita pula, pangiah menunjukkan identiti budaya masyarakat Bidayuh dan merupakan alat hias yang wajib ada pada kaum Bidayuh.


ii. Warna hitam

Warna hitam merupakan warna utama dalam masyarakat Bidayuh begitu juga dengan pakaiannya. Penggunaan warna hitam pada mulanya adalah lambang kepercayaan tentang warna hitam yang merupakan lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang dapat melindungi daripada mahluk-mahluk halus (mengikut kepercayaan orang dulu). Ada juga mengatakan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi pada zaman dahulu.


iii. Penutup kepala (headgear)

Pemakain penutup kepala bagi lelaki dan perempuan kaum Bidayuh merupakan pelindung dan penahan peluh yang dipercayai pada zaman dahulu. Bagi sesuatu majlis atau perayaan headgear dipakai sangat cantik dan berwarna-warni. Manakala, pemakaian headgear ini bagi pakar ritual pula dihiasi dengan hiasan yang banyak. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan perbezaan dengan orang biasa apabila mereka melakukan ritual.


iv. Upacara kebudayaan dan perayaan

Masyarakat kaum Bidayuh menyambut hari Gawai yang diadakan pada musim menuai setiap tahun. Perayaan ini juga disambut oleh kaum iban dan cara sambutan perayaan kedua-dua kaum ini mempunyai banyak persamaan. Gawai dimaksudkan dengan pesta. Oleh sebab itu, Gawai Dayak dikenali sebagai Pesta Dayak. Gawai Dayak disambut sebagai tanda tamatnya musim menuai padi dan mulanya musim menanam padi yang baru. Hari perayaan Gawai jatuh pada 31 Mei dan hari kedua pada 1 Jun setiap tahun. Semasa sambutan Gawai ini kita dapat saksikan beberapa pertandingan yang diadakan. Antara pertandingannya ialah menyambut para dewa, pertandingan ratu cantik dan sebagainya. Pada waktu inilah kita dapat melihat kaum Bidayuh ini akan memperagakan pakaian tradisional mereka dengan mengikuti pertandingan yang diadakan.


v. Persembahan tarian

Semasa sambutan perayaan hari Gawai juga, persembahan tarian daripada kaum Bidayuh akan dipertontonkan. Persembahan tarian ini bertujuan untuk meraikan pesta Gawai serta menyambut kedatangan tetamu di rumah panjang mereka. Kaum bidayuh sangat menghargai tetamu mereka yang hadir, oleh itu mereka meraikan dengan menghidangkan persembahan tradisional etnik mereka di depan para tetamu.


vi. Majlis perkahwinan

Pemakaian baju tradisional kaum Bidayuh juga digunakan semasa hari perkahwinan atau pergi ke majlis perkahwinan. Dalam masyarakat Bidayuh, mereka mengamalkan amalan merisik dan bertunang sebelum mengadakan perkahwinan. Istimewanya, pada zaman dahulu perkahwinan akan dilangsungkan bergantung kepada hasil padi yang dituai. Jika hasil padi banyak, maka majlis perkahwinan akan diadakan dengan begitu meriah jika tidak, majlis perkahwinan akan dilakukan secara sederhana sahaja.


vii. Pakaian harian

Pakaian tradisional ini juga menjadi salah satu pakaian harian pada zaman dahulu. Hal ini bertujuan kerana mereka merasakan pakaian mereka ini dapat melindungi mereka daripada terdedah ancaman yang bahaya kepada diri mereka. Akan tetapi, pemakaian baju tradisional untuk digunakan hari-hari pada masa kini tidak lagi relevan. Masyarakat kini menggunakan pakaian tradisional mereka pada majlis rasmi, perayaan atau majlis-majlis tertentu sahaja.


4. Kesimpulan

Setiap masyarakat mempunyai keunikan pada ciri dan fungsi pakaian tradisional mereka begitu juga dengan pakaian tradisional kaum Bidayuh. Kita seharusnya menjaga dan sentiasa menggunakan pakaian tradisional ini supaya generasi akan datang akan tahu tentang wujudnya pakaian tradisional kaum mereka. Pembuatan pakaian tradisional kaum Bidayuh ini seharusnya diperluaskan agar setiap generasi dapat membeli dan menggunakan walaupun pakaian ini hanya akan digunakan pada majlis-majlis tertentu sahaja.

 

Rujukan

Dewan Bahasa dan Pustaka. Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Diakses daripada https://prpm.dbp.gov.my/

Riponche, T. (2017, Mac). Pakaian Tradisional Malaysia. Dimuat turun daripada https://www.tsemrinpoche.com/tsem-tulku-rinpoche/malaysia/pakaian-tradisional-malaysia.html

Wong, M. (2012, September). Pakaian Tradisional Etnik Sarawak. Dimuat turun daripada https://www.slideshare.net/cikgucikgucikgu/pakaian-tradisional-etnik-sarawak

DBNA. (2014, Mei). The Bidayuh Costume. Dimuat turun daripada https://dbna.org.my/blog/the-bidayuh-costume/


 

Link Borang Kaji Selidik berkaitan Pakaian Tradisional Bidayuh:



Comments


bottom of page